GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) ditubuhkan dan beroperasi secara rasmi mulai Selasa lalu.

LUAS dalam kenyataan memaklumkan penubuhan skuad berkenaan adalah untuk memperkasakan lagi Ops Sumber Air Negeri Selangor dan meningkatkan keberkesanan tindakan pencegahan pencemaran yang proaktif.

Menurut kenyataan itu, penubuhan Skuad Pantas LUAS itu selari dengan peruntukan Belanjawan Selangor 2021 dalam menangani masalah pencemaran air di Selangor.

"Objektif utama skuad adalah untuk melaksanakan pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

"Pemantauan 24 jam tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air di Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara.

"Skuad ini juga adalah urusetia kepada Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Selangor yang bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan segera kawalan kecemasan sumber air selaras dengan Manual Pelan Tindakan Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan, fasa pertama penubuhan skuad akan diterajui 15 kakitangan dan akan ditingkatkan sehingga 28 kakitangan yang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan seperti Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (AIR Selangor), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi-agensi lain yang berkaitan.

Katanya, pendekatan operasi Skuad Pantas ini bagi tujuan pencegahan pencemaran adalah melalui dua kaedah iaitu rondaan 24 jam ke kawasan sensitif dan yang dikenal pasti di lembangan sungai-sungai utama yang membekalkan sumber air kepada muka sauk LRA.

"Pemantauan statik (pensampelan in-situ) dengan kerjasama daripada pihak UPEN melalui pembekalan kabin dan kemudahan infrastruktur oleh PBT dan pihak Air Selangor.

"Pemantauan statik akan dilaksanakan dengan lebih berkesan di kawasan strategik berisiko yang dikenal pasti," katanya.

Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, pensampelan berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga akan dilaksanakan bagi pemantauan status kualiti air seterusnya perancangan meningkatkan lagi tahap kualiti sumber air sungai-sungai utama negeri.

"Kerajaan negeri melalui LUAS sentiasa komited dalam memastikan insiden pencemaran dapat dikekang dan ditangani dengan segera agar LRA beroperasi sebaiknya dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat dielakkan.

"Kerajaan negeri dan LUAS menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan. Pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air adalah tanggungjawab bersama," jelas kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 11:36 PM