Mohd Harrif Saleh.
Mohd Harrif Saleh.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Angka dua dilihat sinonim dengan jaguh lebuh raya negara, Harrif Saleh pada 2020 ini tatkala pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menghalangnya untuk meraih lebih banyak pencapaian terpuji musim ini.

Pelumba Terengganu Inc Cycling Team (TSG) itu berbelah bahagi jika menceritakan rumusan aksinya musim ini, tetapi akur pandemik berkenaan bukan hanya menjejaskan perancangannya, malah membabitkan hampir semua pelumba serta pasukan profesional lain.

Bagaimanapun, angka dua yang tersemat dan paling diingati musim ini ialah dua kali memenangi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dirumuskan sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang karier.

"Selepas menjalani persiapan di Thailand pada Januari lalu bersama rakan sepasukan, akhirnya saya berjaya menterjemahkannya di LTdL. Pada mulanya saya menjangkakan hanya meraih podium, tapi memperoleh bonus dapat memenangi dua peringkat (lima dan tujuh).

"Ia satu bonus dan di luar jangkaan. Memang perlu bergelut dan bersaing, tapi saya ketepikan semua itu untuk membuktikan anak jati Terengganu mampu mengulanginya selepas kali pertama dilakukan Anuar Manan (pada 2010)," katanya.

Harrif atau terkenal dengan panggilan Mamat juga memberitahu bahawa video GoPro yang digunakannya ketika perlumbaan itu bukan untuk menunjuk-nunjuk.

"Ia untuk inspirasi kepada semua rakyat di luar bahawa tidak ada benda yang mustahil untuk memenangi perlumbaan dan bersaing dengan pelumba luar negara.

"Saya pun ada beberapa kali menyebut sorry, sorry ketika menuju ke garisan penamat untuk menunjukkan betapa kita mempunyai adab dan budaya ketika menumpang barisan mereka tatkala saya keseorangan selepas itu barulah saya buat kerja untuk meraih kejayaan," katanya.

Angka kedua seterusnya, mungkin agak janggal buat Harrif, iaitu hanya dua kejohanan saja disertainya musim ini, juga disebabkan Covid-19 tatkala perlumbaan di seluruh dunia dibatalkan.

"Selepas saja LTdL, terus kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selepas itu ia dilonggarkan semula apabila kes menurun dan saya sempat mengambil bahagian di kejohanan kebangsaan.

"Cuma kurang bernasib baik, ketika di kejohanan itu basikal saya mengalami masalah teknikal, menggagalkan peluang saya untuk muncul juara. Bagaimanapun, sekali lagi masyarakat nampak usaha saya dan menjadi tular, apabila saya berkongsi di media sosial, tetap berkayuh walaupun pengayuh rosak," katanya.

Sebelum itu ketika PKP, dia seakan menggeletar kerana tidak dapat berkayuh di luar, hanya menghabiskan masa dengan perlumbaan virtual dan ia bukan yang diinginkan oleh seorang pelumba.

"Memang sangat bergelut ketika itu, tidak boleh menyertai perlumbaan, berkunjung ke luar negara dan tidak boleh berkayuh. Saya pada mulanya seakan tidak percaya apa yang berlaku.

"Selepas dibenarkan melakukan aktiviti di luar perlu pula menjalani norma baharu tidak boleh bersalam dan bergambar dengan rakan-rakan serta peminat. Pada mulanya memang agak janggal sebelum ia menjadi kebiasaan," katanya.

Nombor dua seterusnya buat karier Harrif musim ini apabila TSG hanya berada di kedudukan kedua keseluruhan dalam Jelajah Asia, berada di belakang Sapura Cycling Team (TSC). Ia mungkin sedikit mengecewakannya kerana musim lalu mereka berada di tangga teratas namun ia berbalik kepada apa yang berlaku seluruh dunia tahun ini, pandemik Covid-19 membuatkan mereka tidak sempat memungut mata secukupnya.

"Saya sangat berpuas hati prestasi 2020. Jika tidak disebabkan pandemik ini mungkin lebih banyak lagi kemenangan dapat dilakarkan kerana saya berada di puncak prestasi ketika di LTdL.

"Bagi 2021 saya berharap dapat merampas semula kejuaraan kebangsaan, memenangi beberapa peringkat perlumbaan jelajah bertaraf 2.1, 2.2 kerana saya sangat merindui semua ini.

"Sebelum ini kalau ada perlumbaan yang landai, ramai pelumba akan berkata 'bagi kat mu la race ni' baik pelumba tempatan mahupun antarabangsa, tapi sekarang saya sudah lama tidak mendengar sapaan seperti itu. Rindu saat hendak masuk dalam laluan untuk melakukan henjutan," katanya.

Apapun 2020 akan terus diingati Harrif, dua kali memenangi peringkat perlumbaan LTdL, dua kali menyertai kejohanan dan membantu TSG menduduki tangga kedua Jelajah Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 8:03 AM