PENDAKWAH selebriti dibawa ke mahkamah di Shah Alam, kelmarin. FOTO Hairul Anuar Rahim
PENDAKWAH selebriti dibawa ke mahkamah di Shah Alam, kelmarin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor menerima kira-kira lima laporan polis terhadap pendakwah selebriti yang ditahan baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, semua laporan itu diterima di dua daerah iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan juga IPD Petaling Jaya dan siasatan masih berjalan.

"Jumlah laporan terkini kira-kira empat hingga lima, jadi kita menyeru pada mangsa-mangsa agar tampil ke hadapan sekiranya mereka mangsa kepada pendakwah ini," katanya selepas menerima sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun selaku Pengerusi Bebas dan Bukan Eksekutif Inix Technologies Holdings Bhd di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Noor Azam berkata, berdasarkan siasatan awal, kebanyakan mangsa berusia 21 hingga 25 tahun dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa mudah tertarik dengan cara pendakwah terbabit meyakinkan mereka.

"Apabila dia menggambarkan diri dia sebagai pendakwah yang boleh menenangkan dan meyakinkan mangsa terutamanya bercakap lebih menjurus kepada keagamaan, ini menjadi tarikan kepada mangsa.

Berhubung dakwaan pendakwah terbabit menggunakan ilmu pengasih katanya, setakat ini pihaknya tiada maklumat mengenainya.

Beliau berkata, semua laporan yang dibuat mangsa akan disiasat dan dikumpulkan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana perkenalan mereka juga medium apa yang digunakan.

"Kalau siasatan lengkap, kita akan ambil tindakan. Kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan fakta-fakta dan bukti. Sama ada boleh dakwa atau tidak, keputusan itu terpulang kepada pihak pendakwaan," katanya.

Ketika ditanya mengapa kebanyakan mangsa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis, katanya, berkemungkinan mangsa malu kerana ia membabitkan maruah diri.

"Kadang-kadang mangsa malu, kita tidak boleh salahkan mangsa sebab ini melibatkan maruah tetapi apabila seorang keluar, mesti dua tiga orang mangsa akan keluar lagi.

"Jadi saya menyeru, yang pernah jadi mangsa datanglah ke balai dan buat laporan polis, kita akan ambil tindakan, tidak perlu takut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 3:32 PM