FAZATUL Azren menjaga serta menguruskan segala keperluan anak bongsunya, Ummu Damia Khalisya yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala dan Cerebral Palsy (CP) sejak lahir. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
FAZATUL Azren menjaga serta menguruskan segala keperluan anak bongsunya, Ummu Damia Khalisya yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala dan Cerebral Palsy (CP) sejak lahir. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan syukur di atas sumbangan yang diberikan ini dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya," kata ibu tunggal, Fazatul Azren Husin, 34.

Fazatul Azren adalah seorang daripada penerima sumbangan Bantuan Metro Prihatin anjuran Harian Metro menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dilancarkan November tahun lalu.

Menurutnya, sumbangan itu boleh digunakan untuk menampung keperluan anak bongsunya, Ummu Damia Khalisya Saifful Amilin, 6, yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala dan Cerebral Palsy (CP) sejak lahir, serta seorang lagi anaknya, Muhammad Khalif Naufal, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan.

"Ummu Damia Khalisya hanya bergantung kepada susu khas yang diberikan sebanyak lapan kali sehari, kos untuk membeli susu ini mencecah sehingga RM500 sebulan memandangkan harganya yang mahal sehingga RM160 setin.

"Menerusi sumbangan ini, bolehlah saya gunakan untuk membeli susu anak kerana sebelum ini, ada ketikanya saya terpaksa mencampurkannya dengan susu biasa bagi memastikan bekalan tidak terputus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Fazatul Azren berkata, sebelum ini, dia bekerja separuh masa di sebuah hotel bajet di bandar Kubang Kerian dengan pendapatan RM30 sehari.

"Namun, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya tidak boleh keluar bekerja menyebabkan tidak ada pendapatan dan hanya bergantung kepada wang simpanan yang ada.

"Namun, selepas kisah kami tiga beranak dilaporkan dalam akhbar Harian Metro, ramai insan yang prihatin menghulurkan sumbangan wang ringgit.

"Terima kasih juga kepada tabung Bantuan Metro Prihatin yang membantu kami," katanya yang memaklumkan menerima panggilan dan mesej melalui aplikasi WhatApp daripada kakitangan Media Prima Berhad (MPB), pertengahan November lalu yang memaklumkan dia menerima sumbangan RM5,000 daripada Bantuan Metro Prihatin.

Pada 23 Oktober lalu, portal Harian Metro melaporkan kisah Ummu Damia Khalisya yang terlantar selepas disahkan menghidap hydrocephalus dan CP sejak lahir.

Lebih menyedihkan lagi, Ummu Damia Khalisya juga kerap diserang sawan dan perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat sawan yang diberikan dua kali sehari selain tidak dapat bertutur dan ketika berusia empat tahun kedua-dua matanya tidak lagi dapat melihat.

Berita berkaitan:

  • Tabah jaga anak istimewa [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 4:27 PM