ISMAIL menunjukkan Hutan Simpan Bukit Enggang yang dipercayai mempunyai mineral bernilai tinggi berhampiran  rumahnya di Kampung Charuk Kit, Sik. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ISMAIL menunjukkan Hutan Simpan Bukit Enggang yang dipercayai mempunyai mineral bernilai tinggi berhampiran rumahnya di Kampung Charuk Kit, Sik. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Sik: Penemuan hasil mineral yang diumumkan kerajaan negeri semalam, dianggap bukan sesuatu yang baharu kepada penduduk daerah itu berikutan mereka sedia maklum mengenai kajian yang dilakukan, sebelum ini.

Mineral jenis rare earth elements (REE) tidak beradioaktif itu dipercayai berada di bawah tanah di Hutan Simpan Bukit Enggang iaitu terletak kira-kira lima kilometer (km) dari Pekan Sik.

Tinjauan di beberapa rumah penduduk berdekatan Bukit Enggang mendapati, kebanyakan mereka sudah maklum mengenai kajian itu, namun lebih teruja apabila ia bakal menjadi pendapatan baharu untuk kerajaan negeri.

Penduduk Ismail Abdul, 65, berkata dia difahamkan kajian berkaitan mineral berkenaan dibuat sejak tahun lalu.

"Saya adalah Ketua Ladang Felcra Sungai Senam Satu sejak 20 tahun lalu, dan ketika penanaman semula pokok getah di ladang, saya difahamkan terdapat kajian mengenai mineral di kawasan bukit oleh syarikat Korea.

"Jika ada bahan (REE) itu maka ia akan digunakan untuk membuat komponen telefon pintar dan sebagainya, namun ia masih dalam peringkat kajian dan diminta tidak dihebohkan," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Charuk Kit.

Bapa kepada enam anak itu berkata, pihaknya sangat berharap hasil bumi itu dapat dikongsi oleh penduduk Sik melalui peluang pekerjaan.

Katanya, ini kerana ramai penduduk Sik banyak bergantung kepada hasil pertanian dan menoreh getah, manakala anak muda berhijrah ke negeri lain untuk bekerja.

Sementara itu, penduduk Kampung Charuk Kudong, Izwan Hadi Md Zuki, 31, mengakui kawasan bukit terbabit menyimpan pelbagai khazanah luar biasa berikutan sering mendaki Bukit Enggang untuk menyelenggara takungan air.

Katanya, kawasan di atas bukit itu mempunyai batu berwarna yang cantik termasuk airnya juga sangat jernih.

"Mengikut cerita orang tua dahulu, terdapat kawasan di bukit ini menjadi tempat lombong bijih timah dan juga terdapat emas, namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

"Rupa batu seperti emas di atas bukit ini menyebabkan saya pernah membawanya pulang dan menunjukkan kepada tukang emas, walaupun ia bukan emas namun rupanya sangat menarik perhatian," katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Bagaimanapun sebagai penduduk berhampiran, Izwan tetap mengharapkan flora dan fauna di Bukit Enggang dapat dikekalkan sekiranya mineral di bawah perut bumi bukit itu dikeluarkan kelak.

Semalam, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan negeri meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka mineral di negeri itu yang dianggarkan bernilai RM62 billion.

Mineral jenis REE dan tidak beradioaktif itu didapati di bawah muka bumi Sik, kawasan UIu Muda, Baling serta di Lenggong, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 4:31 PM