Siti Rohana Idris
[email protected]metro.com.my

Tumpat: Batu nisan berselerak dan belindan rosak di tanah perkuburan Kampung Dalam Rhu, di sini, disebabkan arus deras akibat hujan lebat sejak petang semalam.

Kejadian itu disedari pagi tadi oleh penduduk kampung apabila terlihat lebih 30 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kubur Dato, di sini, beralih tempat dan rosak akibat hakisan tanah yang mendap berikutan limpahan air hujan.

Penghulu Mukim Kubur Dato', Rosli Mohd Noor berkata, ia adalah kejadian kedua selepas kali pertama berlaku pada awal 2017 yang membabitkan lebih 100 kubur rosak teruk.

"Dua hari lalu saya ternampak beberapa batu nisan berada dalam kedudukan condong dan sudah berkira-kira untuk membaikinya dengan memanggil penduduk kampung.

"Belum sempat ia dibuat, hujan mulai lebat sejak petang semalam hingga hari ini dan sebaik melintasi kawasan perkuburan ini pagi tadi, saya sangat terkejut melihat banyak belindan beralih tempat dan batu nisan tercabut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

PENDUDUK kampung bergotong-royong membersihkan kubur yang terjejas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENDUDUK kampung bergotong-royong membersihkan kubur yang terjejas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Rosli berkata, pihak berwajib sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan dia serta penduduk kampung mengambil tindakan pantas meletakkan plastik serta kanvas untuk mengalirkan air yang melimpah keluar dari kawasan perkuburan.

Menurutnya, penduduk kampung juga bergotong-royong membetulkan semula belindan yang beralih tempat dan mengutip batu nisan untuk diletakkan di tempat asal.

Katanya, pihaknya ada mencadangkan kepada pihak berwajib agar membina saluran paip agar memudahkan proses aliran air bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

"Tanah perkuburan seluas 1.6 hektar ini sudah berusia kira-kira 100 tahun dan menempatkan lebih kurang 7,000 pusara.

"Selagi tidak dibina saluran paip yang sesuai, kami jangkakan kejadian yang sama akan berulang kembali kerana tanahnya berpasir dan mudah mendap ketika hujan malah di kawasan tengahnya ibarat kolam kerana disebabkan takungan air," katanya.

BATU nisan berselerak dan belindan rosak di tanah perkuburan Kampung Dalam Rhu. FOTO Foto Nik Abdullah Nik Omar
BATU nisan berselerak dan belindan rosak di tanah perkuburan Kampung Dalam Rhu. FOTO Foto Nik Abdullah Nik Omar

Seorang waris, Rahim Jusoh, 61, dia mengetahui kejadian itu pagi tadi apabila melihat maklumat yang tular menerusi telefon bimbit dan sebaik diamati belindan milik arwah bapa dan adiknya turut beralih tempat.

"Saya segera datang ke sini untuk memastikannya dan memang betul kubur bapa dan adik turut rosak dan beralih tempat.

"Dalam kejadian tiga tahun lalu, hanya kubur ayah sahaja yang rosak tapi kali ini turut membabitkan pusara adik yang meninggal dunia pada Mac lalu," katanya sambil memberitahu akan membersihkan dua pusara ahli keluarganya itu dan dicat baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:04 PM