DEKAN Fakulti Bahasa dan Linguistik UM  Profesor Madya Dr  Surinderpal Kaur C.S (kiri) dan Naib Canselor UM, Datuk Profesor Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor.
DEKAN Fakulti Bahasa dan Linguistik UM Profesor Madya Dr Surinderpal Kaur C.S (kiri) dan Naib Canselor UM, Datuk Profesor Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM) menerima anugerah penghargaan dari Kementerian Luar Negeri Jepun yang mengiktiraf usaha dan sumbangan UM terhadap negara matahari terbit itu.

Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik UM Prof Madya Dr Surinderpal Kaur CS berkata, anugerah itu diberi sebagai tanda penghargaan terhadap usaha UM dalam mempromosikan pendidikan bahasa Jepun di Malaysia.

Menurut Surinderpal, inisiatif UM adalah menerusi tawaran mengikuti kursus bahasa Jepun yang membolehkan penuntut membuat pengkhususan dalam pengajian bahasa Jepun dan dianugerahi Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Jepun selepas tamat pengajian.

"UM mula menawarkan kursus itu pada 1998 dan turut menawarkan program pertukaran penuntut dengan universiti di Jepun serta peluang menjalani latihan industri di syarikat Jepun, baik di Malaysia mahupun di Jepun untuk memberi pendedahan kepada penuntut selain memperkukuhkan hubungan antara dua negara.

"Program ini adalah usaha mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik) Datuk Prof Dr Osman Bakar dan mantan Dekan Prof Emeritus Dr Asmah Omar ketika itu dengan objektifnya adalah memberi pendedahan agar pengalaman yang diperoleh dapat memperkayakan kehidupan mereka, rakan global serta komuniti sejagat," katanya pada kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UM Datuk Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor melahirkan rasa bangga dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diterima.

"Pengiktirafan ini adalah bukti sokongan padu kerajaan Jepun atas komitmen berterusan UM.

"Saya berharap komitmen ini dapat diteruskan sebagai usaha memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun," katanya .

Pada 2017, UM pernah menerima pengiktirafan daripada kerajaan Jepun atas usaha dan komitmen universiti dalam menyediakan program persediaan pengajian ke Jepun di bawah Ambang Asuhan Jepun (AAJ).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:29 PM