JENERAL Tan Sri Affendi Buang (kanan) pada sidang akhbar Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysian Battalion 850-7 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
JENERAL Tan Sri Affendi Buang (kanan) pada sidang akhbar Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysian Battalion 850-7 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang mahu masyarakat bekerjasama dengan pasukan keselamatan yang menjalankan tugas menjaga kedaulatan negara dan tidak membuat provokasi mengenai penugasan tentera.

Beliau berkata, tentera bertugas 24 jam menjaga sempadan negara dan mereka berkorban jiwa serta raga demi keselamatan semua, namun mereka tidak terlepas daripada membuat kesilapan.

"Apa yang dikesalkan, kesilapan sedikit itulah ditularkan dan diperbesarkan menyebabkan pandangan serong masyarakat terhadap organisasi keseluruhan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada MALBATT 850-7 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai rakaman video tular di Facebook (FB) memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja asing didera anggota keselamatan yang memakai pakaian tentera.

Dalam video berdurasi 19 saat itu, lelaki memakai seluar celoreng memegang alat seperti cambuk mengarahkan pekerja asing itu berguling atas tanah.

Namun menurut sumber, pekerja asing itu dikatakan melanggar perintah kuarantin ditetapkan pihak berkuasa.

Difahamkan, individu didera itu adalah pekerja di kilang sarung tangan, Top Glove yang kini sedang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Affendi berkata, pihaknya melakukan siasatan dalaman bagi memastikan siasatan terperinci dan menyeluruh untuk keadilan semua pihak.

"Saya bagi pihak ATM (Angkatan Tentera Malaysia), menyeru masyarakat agar terus memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam menangani isu ini dan ia masih dalam siasatan dalaman ATM.

"Mungkin anggota saya bertindak melepasi batas, saya minta maaf tetapi yang saya tahu, mereka bukan bertindak sesuka hati, mungkin ada sebabnya kerana banyak operasi di beberapa lokasi dan mereka bertugas 24 jam, jadi kita semua harus bertindak adil," katanya.

Affendi berkata, anggota tentera bertugas di pelbagai jenis operasi termasuk di luar negara seperti penugasan di negara bergolak di Lubnan dan bukan sekadar Op Benteng sahaja.

Beliau berkata, secara keseluruhan, beliau berbangga dengan anggota yang menjalankan tugas di mana-manapun termasuk di sempadan bagi mengawal kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

Katanya, ada segelintir orang ramai menyebarkan video negatif mengenai tentera, tetapi pada masa sama, banyak perkara positif disorokkan daripada pengetahuan masyarakat.

Pada majlis itu, Affendi menyempurnakan majlis pembubaran dan penganugerahan pingat PNBB MALBATT 850-7 yang menjalankan misi di bawah PBB di Lubnan selama setahun mulai 17 Oktober tahun lalu.

Misi itu diketuai Kolonel Khairul Anwar Soib selaku Komander MALBATT 850-7 yang dianggotai seramai 850 anggota membabitkan 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 6:05 PM