Gua Musang: Tangkapan ke atas seorang lelaki berhubung kes dadah turut membongkar kegiatan suspek terbabit dalam kes curi pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, suspek berusia 36 tahun ditahan pada 2 pagi 24 November lalu bagi membantu siasatan kes dadah.
Menurutnya, siasatan yang dibuat mendapati suspek adalah individu dalam senarai dikehendaki polis kerana mempunyai rekod jenayah curi kenderaan.
"Hasil soal siasat suspek mengaku terbabit dalam kegiatan mencuri enam pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pada 2017 dan 2018.
"Malah, suspek juga mendakwa semua kenderaan yang dicuri itu dijual di Thailand," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya yakin kegiatan curi kenderaan yang aktif di daerah itu berjaya dibanteras dengan penahanan suspek.
Katanya, enam pacuan empat roda milik persendirian dan agensi kerajaan yang hilang itu dianggarkan bernilai RM300,000.
Terdahulu, Mohd Taufik memaklumkan pihanya menahan tiga suspek termasuk pasangan kekasih yang disyaki terbabit dalam aktiviti pecah rumah, kedai, masjid dan pejabat kerajaan.
Katanya, mereka berusia 27 hingga 36 tahun itu terdesak untuk membeli dadah dan pil kuda hingga sanggup bertindak demikian.