GAMBAR fail. FOTO Ihsan Maqis
GAMBAR fail. FOTO Ihsan Maqis
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan didesak menyiasat secara bersepadu pendedahan wujud kartel yang terbabit dalam penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import untuk dijual semula ke pasaran negara.

Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ) Muhammed Farhan Basheer berkata, siasatan menyeluruh tidak seharusnya diletakkan dibahu polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu membabitkan pihak berkuasa lain seperti pihak berkuasa pelabuhan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Penipuan logo halal adalah kesalahan yang sangat serius. Ia menunjukkan ada pihak yang tidak jujur dan sengaja membekalkan barangan makanan tidak halal, tetapi dilabelkan sebagai halal kepada umat Islam di negara ini semata-mata untuk mengaut keuntungan.

"Kewujudan kartel membawa masuk sejumlah kontena daging sejuk beku yang banyak juga kemungkinan ada kaitan dengan ketirisan penguatkuasaan agensi tertentu.

"Kerajaan wajar menggerakkan siasatan bersepadu hingga akar umbi untuk mengesan di mana punca ketirisan itu berlaku dan mengenakan hukuman setimpal terhadap semua pihak terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammed Farhan, pendedahan Maqis sewajarnya akan membuka ruang siasatan yang lebih meluas, terperinci serta bersepadu bagi mengheret semua pihak yang terbabit dengan kartel berkenaan ke mahkamah.

Katanya, pendedahan kegiatan seperti ini turut menjejaskan kredibiliti logo Halal Malaysia Jakim yang diperakukan piawaiannya di seluruh dunia.

"Kami meminta semua operator hotel, restoran, rangkaian pasar raya serta stokis lebih peka serta berhati-hati dengan isu seperti ini terutama mengetahui dari mana sumber bekalan daging itu.

"Ini membabitkan soal kehidupan dan pematuhan umat Islam kepada suruhan agama supaya mengambil makanan dan minuman yang halal.

"Selain daging sejuk beku, kerajaan juga perlu mengaudit atau membuat semakan semula status produk import berasaskan daging lembu, ayam dan kerbau yang menggunakan logo halal.

"Selain China, Ukraine, Brazil dan Argentina, negara kita mengimport produk makanan yang ada logo halal dari pelbagai negara lain," katanya.

Media melaporkan semalam melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 9:36 PM