POLIS menyerbu sebuah kondominium yang dijadikan sarang operasi judi dan forex. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menyerbu sebuah kondominium yang dijadikan sarang operasi judi dan forex. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Beroperasi di kawasan elit di tengah ibu kota sebagai pusat panggilan judi atas talian dan urus niaga penukaran mata wang asing atau forex bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun, hasil risikan polis akhirnya mengesan kegiatan haram berkenaan di sebuah kondominium di Jalan Bukit Ceylon Off Jalan Changkat Bukit Bintang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam serbuan itu enam lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 33 tahun ditahan polis ketika sedang leka menjalani latihan.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati sindiket ini menjalankan latihan kepada warganegara China bagi aktiviti promosi perjudian saham bagi pasaran di China.

"Suspek juga mengakui membuat latihan pembelian menerusi aplikasi Wechat oleh pelanggan dari China seperti mana yang diarah majikannya.

"Sindiket ini juga menggajikan suspek RM2,500 sebulan dan mereka sudah menjalankan operasi sejak dua bulan lalu," katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan kegiatan itu seperti komputer riba, telefon bimbit, peranti sambungan internet.

Katanya, warga China yang ditahan mengakui masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

"Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 11:08 PM