GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 184 mangsa malam ini, berbanding hanya 53 mangsa petang tadi.

Kesemua mangsa banjir berkenaan membabitkan 42 keluarga di enam pusat pemindahan di dua daerah.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 10 malam ini, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Bharu dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Melor (23 mangsa); SK Tiong (49 mangsa) dan Islamic Outreach Abim Kok Lanas (11 mangsa).

Manakala, di Pasir Puteh juga membabitkan tiga PPS iaitu Dewan Kompleks Kamil (67 mangsa); SK Changgai (17 mangsa) dan SK Bukit Jawa 2 (17 mangsa).

Kesemua mangsa banjir berkenaan mula dipindahkan mulai 6 petang tadi sehingga malam ini termasuk membabitkan enam orang kurang upaya (OKU) dan enam bayi.

Pertambahan jumlah mangsa banjir yang agak ketara berikutan hujan lebat di Kelantan sejak pagi tadi.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu mulai semalam.

MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan di Kelantan ia membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, manakala di Terengganu daerah yang terbabit ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 11:24 PM