KLANG 25 NOVEMBER 2020. Kelihatan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai Pakaian perlindungan diri (PPE).
KLANG 25 NOVEMBER 2020. Kelihatan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai Pakaian perlindungan diri (PPE).
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 yang melanda negara tahun ini menyaksikan perubahan drastik berlaku dalam lapangan kerja petugas kesihatan bagi mengelak terdedah risiko jangkitan.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Teluk Intan, Perak, Dr Samsu Ambia Ismail berkata, gerak kerja di jabatannya juga berubah sejak penularan wabak itu dalam negara pada Mac lalu berikutan beban tugas semakin mencabar.

"Sama seperti masyarakat luar, saya juga melalui perubahan contohnya hendak keluar pun tidak boleh sesuka hati macam dulu namun dari segi kerjaya, kita tiada pilihan untuk mengelak hingga terpaksa buat norma baharu yang tidak pernah kami lakukan sebelum ini.

"Sepanjang karier saya sejak 1996, sedikit sebanyak kita sudah terbiasa dan berpengalaman berdepan wabak seperti Ebola dan Influenza A (H1N1) namun ia menjadi perkara baharu kepada kami ketika negara diserang Covid-19.

"Malah, walaupun ketika menghadapi wabak lain pun, ada proses saringan dan perlu memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE), tetapi tidak seteruk apa kami lalui ketika berdepan Covid-19 kerana perlu bekerja dalam keadaan memakai PPE untuk tempoh lama," katanya.

Menurutnya, tiga zon jabatannya terpaksa dipecahkan kepada enam bahagian untuk membuat saringan kepada pesakit bergejala Covid-19 dan mengendalikan kes pesakit biasa.

"Bila kes Covid-19 tiba-tiba melonjak, jabatan kami terpaksa tambah lagi zon untuk pesakit bergejala respiratori, dan satu lagi bukan bergejala respiratori sekali gus menjadikan enam zon semuanya.

"Sebagai ketua jabatan saya memikirkan apa lagi langkah terbaik untuk meringankan beban petugas dan melancarkan gerak kerja berikutan kita tidak mahu kes pesakit biasa diabaikan.

"Dalam memastikan perkhidmatan tidak terjejas, kebajikan petugas juga harus dijaga di mana saya akan pastikan mereka berehat dan mengambil cuti mengikut sistem giliran selain bantuan asas psikologi turut disediakan untuk memastikan mereka sihat fizikal dan mental memikul amanah kerja," katanya.

Katanya, perubahan drastik norma baharu pada awalnya sukar diterima dan meletihkan, kini sudah menjadi rutin yang perlu dilalui setiap hari oleh petugas di jabatannya.

"Kita menjadi lebih berwaspada, tidak lagi datang dengan berbaju kerja (pejabat) seperti selalu sebaliknya sampai saja perlu tukar baju klinikal atau PPE dan mandi terlebih dahulu dan tukar baju lain sebelum balik ke rumah.

"Malah, mesyuarat bersemuka diubah kepada maya termasuk pembelajaran doktor pelatih turut diadakan secara Google Meet atau Zoom, selain kursus pertolongan cemas untuk kakitangan dan orang awam juga dikurangkan bagi mengurangkan risiko penularan," katanya.

Dr Samsu berkata, apa yang membimbangkan kini kehadiran temu janji pesakit biasa juga berkurangan berikutan stigma orang ramai terhadap pandemik itu.

"Berdasarkan peratusan kehadiran di tempat kami, kita tengok kehadiran orang ramai datang mengambil ubat atau temu janji doktor berkurangan kerana takut dijangkiti Covid-19 apatah lagi dimomokkan dengan berita palsu yang menambahkan kegusaran ramai.

"Saya bimbang pesakit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya jika mereka tidak patuhi jadual temu janji dan pengambilan ubat boleh memudaratkan kesihatan sendiri.

"Memang bagus masyarakat tidak ambil ringan dengan Covid-19, tetapi jangan sampai berlebihan dan perlu diakui setiap hospital mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk sedaya upaya mengelak risiko jangkitan, misalnya kami sendiri menambah baik perkhidmatan dengan menyediakan khemah khas untuk saringan kes gejala Covid-19 di luar sebelum dibenarkan masuk ke kawasan hospital," katanya.

Katanya, amalan norma baharu dan pematuhan SOP harus sentiasa menjadi budaya semua pihak termasuk masyarakat bagi mengelak penularan jangkitan.

"Sememangnya kita mengharapkan pandemik ini segera berakhir, namun selagi belum memperoleh vaksin...kita belum menang lagi dan tidak boleh menarik nafas lega.

"Jadi, pilihan terbaik sekarang setiap orang berperanan mengamalkan SOP dan biasakan hidup dengan norma baharu, insya-Allah mampu mengurangkan risiko jangkitan dan penularan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 7:01 AM