Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 1,500 keluarga di sembilan taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak seminggu lalu menerima bakul makanan bernilai RM100 sebuah.

Ia diedarkan kepada keluarga itu yang membabitkan 6,000 penduduk pada semalam dan hari ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sejumlah 806 keluarga sudah menerima bakul makanan itu semalam dan 694 keluarga lagi pada hari ini menerusi agihan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Kulim.

"Sahabat-sahabat yang terbabit dengan misi bantuan, saya ingin ingatkan bahawa bantuan edaran ini hanya boleh dilaksanakan melalui PKOB.

"Agihan akan diuruskan oleh agensi-agensi yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengelak penularan Covid-19," katanya.

Mengenai ujian saringan Covid-19 di mukim itu, Muhammad Sanusi berkata, ia dilakukan secara berperingkat dan dikemas kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada 25 November lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di taman perumahan di Mukim Sungai Seluang bermula 27 November hingga 10 Disember.

Ia berikutan terdapat 50 kes positif yang direkodkan di lokaliti terbabit yang membentuk Kluster Bayam Indah, selepas KKM melaksanakan 197 ujian saringan bersasar.

Sehingga semalam, 23 kes baharu dicatatkan bagi kluster itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 244 kes.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 11:37 AM