Dr Zulkifli ketika sidang media pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif sempena Maulidur Rasul di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama.
Dr Zulkifli ketika sidang media pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif sempena Maulidur Rasul di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Putrajaya: Kerajaan akan mengeluarkan kenyataan berhubung penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini, minggu depan.

Ia selepas keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas itu bersidang semalam.

"Perkara ini sudah dibincang tetapi kita akan mengikut secara tertib dan berhemah yang mana kita akan persembah perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Insya-Allah tidak ambil masa yang lama, dalam minggu depan kita akan bagi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan video kreatif bersempena Maulidur Rasul 1442H di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau dalam proses mengeluarkan majalah khas untuk memberi penjelasan dan ulasan berkenaan penggunaan vaksin dalam kalangan umat Islam sebagai usaha menangani permasalahan ummah dengan memberi kefahaman yang sebenarnya mengenai perkara itu.

Beliau berkata, majalah setebal 40 muka surat itu akan diterbitkan dalam bentuk santai dan mudah difahami kira-kira dua minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 12:17 PM