MOHD Izhar Abdul@Saidun dan isteri menerima sumbangan daripada Datin Seri Ismalina Ismail (kiri) dan  disaksikan Datuk Noorul Arifin Abdul Majeed. FOTO Norazmira Che Noh
MOHD Izhar [email protected]aidun dan isteri menerima sumbangan daripada Datin Seri Ismalina Ismail (kiri) dan disaksikan Datuk Noorul Arifin Abdul Majeed. FOTO Norazmira Che Noh
Norzamira Che Noh


Klang: Bekas atlet paralimpik negara, Mohd Izhar Abdul @ Saidun mendakwa pernah mencuba untuk mencabut nyawa sendiri akibat tekanan selepas kehilangan kedua belah kaki dalam kemalangan lebih 30 tahun lalu.

Mohd Izhar, 58, berkata, dia mencuba melakukannya empat kali termasuk menelan sejumlah pil ketika berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas kemalangan.

"Walaupun saya mencuba beberapa kali tapi tetap tidak menjadi sebab Dia (Allah SWT) tidak bagi (benarkan).

"Sehingga pada satu hari, ketika sedang membaca majalah, saya ternampak ungkapan 'Allah tak mungkir janji, jaga lima waktu'. Ia sekali gus menimbulkan keyakinan saya bahawa apa yang terjadi ada hikmahnya.

"Selepas itu, saya bangkit dan sehingga sekarang, masih berpegang kepada ungkapan itu terutamanya ketika diuji dengan kejatuhan dalam perniagaan dan sebagainya," katanya ditemui di rumahnya di Johan Setia dekat sini.

Beliau sebelum ini aktif mewakili negara dalam acara memanah pada 1990-an.

Bagaimanapun, kehidupannya bersama isteri dan tujuh anak agak susah selepas perniagaannya gagal dan dia diisytihar muflis.

Mohd Izhar berkata, kini hasratnya adalah untuk membeli sebuah rumah kerana sudah 30 tahun hidup menyewa.

"Saya bukan meminta rumah tetapi memohon untuk ditunjukkan cara serta jalan bagaimana saya boleh membeli rumah kerana saya diisytiharkan muflis serta tiada cagaran yang boleh diletakkan.

"Untuk bayaran bulanan rumah itu, Insha Allah saya boleh usahakan, yang penting hasrat untuk saya miliki rumah sendiri tercapai," katanya.

Terdahulu, Mohd Izhar dan isteri menerima kunjungan Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia Selangor Datin Seri Ismalina Ismail dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Arifin Abdul Majeed.

Pada kunjungan itu, Ismalina menyerahkan sumbangan kepada Mohd Izhar serta bertanya khabar mengenai kehidupan bekas atlet berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 2:38 PM