Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Semua Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak diminta bertenang dan berlapang dada menerima keputusan yang diputuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau juga yakin Bersatu Perak akan kekal dan mengukuhkan hubungan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN)

"Saya berpandangan kerajaan PN ini ialah kerajaan yang baik, diterima oleh rakyat dan momentum itu perlu dikekalkan.

"Saya kira apa yang berlaku di Perak sebelum minggu ini... segala urusan pentadbiran berjalan lancar. Mungkin ada dalam kalangan kami yang bukan semata-mata melihat pentadbiran saya tidak baik tetapi mungkin mereka merasakan lebih layak untuk menduduki kerusi Menteri Besar Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Projek Masjid dan Surau di Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Untuk rekod, Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada 25 ADUN Barisan Nasional, Bersatu (5), PAS (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5), Gerakan (1) dan Bebas (1).

Berita berkaitan

  • MB Perak gagal dapat sokongan majoriti
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 2:44 PM
    AHMAD Faizal pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Sharul Hafiz Zam
    AHMAD Faizal pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Sharul Hafiz Zam