Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Seorang bayi lelaki berusia setahun meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Taman Nusa Intan, Senawang di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu disedari Md Zarif Md Johari, 36, dan isteri, Zurriyati Ishak, 29, apabila terdengar bunyi batuk anak mereka, Zulkarnain.

Menurut Md Zarif, ketika kejadian, anak bongsu daripada lima beradik itu sedang tidur di atas katil bersamanya dan isteri.

"Saya bangun dan dapati anak muntah susu manakala bibirnya biru. Saya cuba tepuk belakang badan tapi anak tidak beri reaksi.

"Saya dan isteri segera membawanya ke hospital swasta. Kakitangan hospital beri bantuan pernafasan sebelum mengesahkan anak sudah meninggal dunia," katanya ditemui di Hospital Tuanku Jaafar hari ini.

Menurutnya, anaknya baru dibenarkan keluar hospital petang semalam, selepas ditahan di wad Rabu lalu kerana demam berulang-ulang selain tiada selera makan.

Katanya, laporan perubatan turut mendapati anaknya berada dalam keadaan baik.

"Saya reda dengan ketentuan Allah SWT. Bagaimanapun, kami tetap sedih kerana baharu saja menyambut hari lahirnya bulan lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 3:01 PM
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan