Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Sudah biasa dengan banjir antara alasan diberikan sebahagian penduduk yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali musim tengkujuh.

Walaupun kawasan di pekarangan rumah ditenggelami air, situasi itu tidak menggusarkan mereka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, penduduk diingatkan tidak mengambil tindakan di saat akhir bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja membahayakan penduduk tetapi turut menyukarkan pihak berkuasa untuk melakukan operasi apabila paras air naik secara mendadak terutama waktu malam.

"Kita sekarang berada dalam norma baharu kerana pandemik Covid-19, sudah tentu proses pemindahan akan mengambil masa kerana kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal.

"Jadi proses perpindahan itu akan berulang kali kerana kita tidak boleh membawa penduduk dalam jumlah yang ramai dalam satu-satu masa.

"Kita mungkin akan mengambil masa untuk memindahkan mereka dan dibimbangi air akan menjadi lebih tinggi seterusnya membahayakan nyawa mereka," katanya ketika ditemui ketika meninjau fenomena air pasang besar di daerah Marang di sini, hari ini.

Dalam tinjauan itu, terdapat segelintir penduduk enggan berpindah biar pun air memasuki kediaman mereka dengan memberikan pelbagai alasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 3:11 PM