DATUK Razali (tiga kanan) menyampaikan bantuan beras dan wang tunai kepada nelayan disaksikan Wan Hapandi (dua kiri) dan Mohd Zaid (kiri), pada majlis penyampaian sumbangan di Dewan Arena Merdeka, hari ini. FOTO Baharom Bakar
DATUK Razali (tiga kanan) menyampaikan bantuan beras dan wang tunai kepada nelayan disaksikan Wan Hapandi (dua kiri) dan Mohd Zaid (kiri), pada majlis penyampaian sumbangan di Dewan Arena Merdeka, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Dungun: Lembaga Kemajuan Terengganu Ketengah (Ketengah) membelanjakan RM1.3 juta untuk membantu golongan terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang berkuat kuasa Mac lalu.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, ia bukan sahaja disalurkan untuk penduduk di wilayah Ketengah, malah di kawasan luar wilayah.

"Antara penerima bantuan adalah peniaga, pengusaha rumah bot, pemilik bot laju di Tasik Kenyir dan pengusaha restoran serta kedai makan selain nelayan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada nelayan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 159 nelayan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sura menerima bantuan kewangan dan beras.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd, Mohd Zaid Sulaiman.

Razali berkata, walaupun kawasan Dun Sura bukan berada dalam kawasan wilayah Ketengah, tetapi bantuan itu disalurkan atas dasar prihatin dan simpati selepas golongan itu tidak dapat ke laut berikutan keadaan laut bergelora.

Katanya, Ketengah turut menyalurkan bantuan berupa bakul makanan kepada penduduk di mukim Rasau, Dungun, selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 7 November lalu.

"Bantuan bakul makanan disalurkan bagi membantu kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan penduduk di mukim Rasau, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 4:26 PM