Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor (tiga dari kiri) ketika menziarahi Khairunnisak ketika ditemui di Kampung Sri Melenggang, Astana Raja. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor (tiga dari kiri) ketika menziarahi Khairunnisak ketika ditemui di Kampung Sri Melenggang, Astana Raja. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Oleh Mohd Khidir Zakaria


Rembau: "Arwah suami teruja sebaik tahu anak yang saya kandung adalah perempuan, tetapi dia tak sempat lihat anak lahir apabila terbabit kemalangan sebelum meninggal dunia 15 hari kemudian," kata Khairunnisak Ashaari, 35.

Khairunnisak ditemui di rumahnya di Kampung Sri Melenggang, Astana Raja, Kota di sini.

Menurut Khairunnisak, arwah suami, Mohd Ghazali Akup, 49, terbabit kemalangan di Kota, Rembau ketika dalam perjalanan balik ke rumahnya dari tempat kerjanya sebagai pemandu di tapak projek di Jabatan Pembetungan Putrajaya 11 November lalu.

"Suami yang parah terus di bawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan.

"Saya pula sedang sarat mengandung dan anak perempuan kami lahir empat hari kemudian di hospital yang sama," katanya.

Menurutnya, arwah ketika itu masih koma dan dia disahkan meninggal dunia pada 30 November.

"Anak kami ini diberi nama Diya Nuraisya, ia hasil perbincangan bersama arwah ketika dia masih hidup.

"Arwah begitu teruja selepas mendapat tahu bakal mendapat anak perempuan kerana lima anak sebelum ini lelaki, namun dia tak sempat melihatnya.

"Buat masa sekarang saya masih tinggal dengan kakak, Zuriani Ashaari, berusia 48 tahun, yang juga ibu tunggal anak tiga berusia dari 18 hingga 23 tahun yang bekerja sebagai pembantu Tadika Kemas," katanya.

Khairunnisak menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) dan Lajnah Kebajikan PAS Negeri Sembilan di rumahnya.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9 Norfadilah Mansor berkata, pihaknya turut akan menyumbang pembayaran bil elektrik dan air keluarga ini yang tertunggak hampir RM1,000.

"Memang menyedihkan apabila tonggak keluarga mereka hilang sekelip mata.

"Kami akan memanjangkan kes ini kepada pihak berkaitan untuk bantuan berterusan. Kami juga akan memantau perkembangan keluarga ini dari semasa ke semasa," katanya.

Norfadilah berkata, orang ramai boleh membantu bagi meringankan beban keluarga ini dengan menghubungi Khairunnisak di talian 011-63988443.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 4:31 PM