Mohd Amin Jalil

Seremban: Polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung pergaduhan sekumpulan lelaki dipercayai berlaku di Uptown Avenue Seremban 2, di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seremban sudah menerima satu laporan berkaitan kejadian berkenaan, 9.45 pagi tadi.

"Bilik Gerakan IPD Seremban menyatakan telah menerima laporan berkaitan satu video tular membabitkan sekumpulan lelaki sedang memukul seorang individu yang tidak dikenal pasti termasuk tarikh dan masa kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Uptown Avenue Seremban 2 dan video berdurasi satu minit dua saat itu menunjukkan pergaduhan di antara dua kumpulan.

"Kejadian disyaki berlaku pada 4 Disember lebih kurang 1 pagi berpunca daripada kemalangan jalan raya yang berlaku di kawasan Mambau," katanya di sini, hari ini.

PETIKAN video tular berkaitan sekumpulan lelaki memukul individu di Seremban 2.
PETIKAN video tular berkaitan sekumpulan lelaki memukul individu di Seremban 2.

Mohd Said berkata, bagaimanapun daripada maklumat dan hasil risikan diperolehi, mangsa adalah dua lelaki Cina di mana seorang daripadanya retak di kepala dan seorang lagi hanya cedera ringan.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima dari kedua-dua pihak berkenaan.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 12:50 PM