Baharom Bakar

Marang: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 disediakan bagi membantu mangsa banjir.

Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris menjelaskan, bantuan itu disediakan melalui tiga fasa termasuk penyediaan kit makanan untuk membantu meringankan beban mangsa banjir.

Jelasnya, kit makanan akan diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kit makanan itu diagihkan kepada semua KIR sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah," katanya ketika ditemui pada program Ketengah Ambik Cakna di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, di sini, hari ini.

RAZALI (kanan) bermesra dengan mangsa banjir di PPS SK Bukit Gasing. FOTO Baharom Bakar
RAZALI (kanan) bermesra dengan mangsa banjir di PPS SK Bukit Gasing. FOTO Baharom Bakar

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd, Mohd Zaid Sulaiman.

Pada majlis itu, 108 kit makanan diagihkan kepada 25 KIR yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, 74 KIR di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing dan sembilan PPS di Dewan Sivik Batu Tiong.

Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjelaskan, peruntukan itu turut digunakan untuk bantuan fasa persediaan tengkujuh, termasuk menyewa jentera untuk kerja membaikpulih sistem perparitan serta kenderaan memindahkan mangsa banjir ke PPS.

"Peruntukan itu turut digunakan untuk program pasca banjir termasuk menganjurkan gotong-royong membersih kediaman mangsa banjir, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 1:00 PM