HANAFIAH (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada mangsa banjir ketika mengadakan lawatan di PPS Dewan Sivik Kampung Air Putih. FOTO BAHAROM BAKAR.
HANAFIAH (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada mangsa banjir ketika mengadakan lawatan di PPS Dewan Sivik Kampung Air Putih. FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan kecemasan sekali bayaran berjumlah RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR), yang terjejas berikutan bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat menjelaskan, bayaran itu akan diberikan kepada mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengemaskini data mangsa banjir yang terkesan berikutan kawasan kediaman ditenggelami air susulan hujan lebat dan pertembungan disebabkan fenomena air pasang besar.

"Walaupun ada antara mangsa terpaksa berpindah ke PPS lebih daripada satu kali tetapi pembayaran bantuan akan dibuat hanya sekali bayaran.

"Kita jangka bayaran bantuan kecemasan sekali bayaran kepada semua KIR mangsa banjir dapat diselesaikan pada minggu kedua dan ketiga Januari depan, " katanya selepas melawat PPS di Dewan Sivik Kampung Air Putih, di sini, hari ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai menjelaskan, bantuan kecemasan kepada mangsa banjir itu tidak termasuk bantuan kit makanan.

"Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan negeri untuk bantuan kecemasan itu bergantung kepada data yang kini sedang dikemaskini, " katanya.

Ketika mengulas mengenai 360 KIR yang menjadi mangsa banjir lumpur di beberapa kawasan di Air Putih, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai menjelaskan, semua mangsa akan menerima bantuan kecemasan sekali bayaran daripada tabung dana khas berjumlah RM1,000 satu keluarga.

"Kerajaan negeri akan gunakan peruntukan daripada tabung dana khas untuk membantu meringankan bebanan mangsa banjir lumpur.

"Kita sedang berusaha untuk mengemaskini data mangsa banjir lumpur dan pembayaran bantuan akan dibuat pertengahan Januari depan, " katanya.

Dalam perkembangan lain, Hanafiah berkata keadaan banjir di negeri ini beransur pulih dan kebanyakkan mangsa sudah pulang ke kediaman masing-masing.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 755 mangsa dari 194 keluarga masih menetap di 21 PPS di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 3:38 PM