Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: "Jika boleh apa yang disumbangkan penderma, kami mahu mereka mendapat ganjaran sepatutnya sekali gus menyebabkan kami akan menyelidik bakal penerima sebelum menghulurkan sebarang bantuan," kata Saad Yaacob, 64.

Ini kerana Saad bersama isterinya, Robiah Che Mat, 63, yang menubuhkan Infaq Mall di Masjid Permatang Rambai, di sini, mahu sumbangan diberikan kepada individu yang layak dan memerlukan apatah lagi ia terhad.

Berikutan itu, Saad berkata, mereka sanggup meredah ceruk kampung dengan menunggang motosikal untuk melakukan siasatan terhadap mereka yang mahu bantuan.

"Ada masanya ketika siasatan dijalankan tidak seperti apa yang dikatakan, rumah besar, kenderaan banyak dan jauh sangat daripada apa yang dimaklumkan.

"Perkara seperti ini yang saya dan isteri tidak mahu kerana kita hendak apa yang disumbangkan penderma memperoleh manfaat kepada mereka.

"Apabila didapati memang benar ada yang memerlukan bantuan maka secara automatik saya dan isteri menghantar sumbangan," katanya ketika menyampaikan bantuan kepada lebih 60 asnaf, di sini, hari ini.

SAAD (tengah) bersama isterinya, Robiah menyampaikan sumbangan barangan keperluan di Infaq Mall Masjid Permatang Rambai. FOTO Nur Izzati Mohamad
SAAD (tengah) bersama isterinya, Robiah menyampaikan sumbangan barangan keperluan di Infaq Mall Masjid Permatang Rambai. FOTO Nur Izzati Mohamad

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga hari ini, suami isteri itu melalui Skuad Infaq sudah menyerahkan sumbangan kepada 120 penerima terdiri ibu dan bapa tunggal, pesakit kanser, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas.

"Bantuan ini berbentuk barangan keperluan harian seperti beras, telur, gula dan lain-lain barangan makanan serta wang tunai sebanyak RM50.

"Bagi pemohon yang tidak mampu hadir ke pusat kami maka pihak kami akan melakukan penghantaran ke rumah mereka," katanya.

Katanya, dia dan isteri turut membantu individu yang kehilangan pekerjaan dalam usaha meringankan beban mereka.

"Saya juga mengalu-alukan mana-mana pihak persendirian mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 3:49 PM