Romlah Said, 86, sedang mengemas beg sambil diperhatikan anaknya, Dayang Mat Kin, 60, di di Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Romlah Said, 86, sedang mengemas beg sambil diperhatikan anaknya, Dayang Mat Kin, 60, di di Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Kehadiran dua beranak warga emas di pusat pemindahan sementara (PPS) dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing yang saling bergantung satu dan lain nyata meruntun jiwa.

Romlah Said, 86, dan anaknya, Dayang Mat Kin, 60, yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal antara mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan selepas kediaman mereka di Kampung Rhu Muda, di sini dinaiki air kelmarin.

Walaupun sudah berusia namun ketabahan Romlah yang setia bersama anak istimewanya nyata menyentuh hati apabila melihat wanita itu sentiasa bersama anaknya.

Romlah berkata, dia dihantui perasaan bimbang setiap kali musim tengkujuh kerana memikirkan keadaan diri dan kesihatan anaknya sekiranya banjir berlaku.

"Anak yang diserang demam panas ketika berusia tiga bulan hanya mampu mengesot untuk bergerak dan perlu dibantu untuk menguruskan dirinya.

"Apabila musim tengkujuh memang risau rumah dinaiki air. Bila air semakin tinggi, kami memang akan berpindah demi keselamatan.

"Ada juga cucu mengajak tinggal di rumah mereka tetapi saya dan anak lebih selesa di rumah sendiri. Apabila musim tengkujuh, mereka memang akan datang melihat keadaan kami," katanya ketika ditemui di PPS SK Bukit Gasing di sini.

Tambah Romlah lagi, mereka dibawa menggunakan bot selepas kawasan rumah dinaiki air sebelum menaiki kenderaan ke PPS sekitar jam 1 tengah hari, kelmarin.

Katanya, anaknya itu terpaksa diangkat anggota polis sebelum dipindahkan ke dalam bot.

Sementara itu, Dayang berkata, dia tidak dapat membayangkan kehidupannya sekiranya ibunya tiada.

"Saya tidak pernah berpisah dengan mak dan semua keperluan sama ada di rumah atau di pusat pemindahan diuruskan mak.

"Mak sentiasa mengutamakan saya walaupun dia sendiri sudah berusia dan memang tak boleh nak bayangkan jika dia tiada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 4:24 PM