NORINA menunjukkan roti yang siap dibakar sebelum dimasukkan ke dalam bekas untuk diserahkan kepada pelanggan. FOTO ZAID SALIM
NORINA menunjukkan roti yang siap dibakar sebelum dimasukkan ke dalam bekas untuk diserahkan kepada pelanggan. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Hulu Terengganu: Suatu ketika dahulu, roti sekaya dapur kayu yang diusahakan Fatimah Salleh, 68, amat digemari sekali gus mendapat permintaan tinggi di kalangan pelanggan terutama di sekitar Bandar Kuala Berang.

Namun, sejak 26 tahun lalu, makanan popular ketika minum kedai kopi di bandar itu 'hilang' berikutan pengusahanya berhenti kerana memberi tumpuan kepada aktiviti pertanian.

Bagaimanapun, Februari tahun lalu, penduduk Kuala Berang khususnya golongan berusia yang pernah merasai kelazatan roti sekaya itu kembali melepaskan rindu apabila perniagaan berkenaan 'dihidupkan' semula anak perempuan Fatimah, Maziah Abd Rahman, 32.

Usaha wanita itu meneruskan legasi perniagaan Roti Sekaya Dapur Kayu warisan ibunya membuahkan hasil apabila menerima permintaan tinggi daripada penggemar makanan berkenaan.

Dengan mengekalkan kaedah pembuatan dan kualiti, roti yang dibakar secara tradisional menggunakan tin minyak masak sebagai pengganti ketuhar, turut mendapat sambutan luar biasa di kalangan penggemar roti sekaya di luar negeri ini.

Permintaan tinggi menyebabkan Maziah tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan yang dibuat sama ada secara terus atau menerusi media sosial.

MAZIAH (kiri) dibantu ibunya, Fatimah (kanan) melakukan proses memasukkan sekaya ke dalam roti sebelum dibakar. FOTO ZAID SALIM
MAZIAH (kiri) dibantu ibunya, Fatimah (kanan) melakukan proses memasukkan sekaya ke dalam roti sebelum dibakar. FOTO ZAID SALIM

`

"Pada mulanya, saya membuat secara suka-suka sebagai hidangan keluarga, namun sebaliknya berlaku apabila jiran menyarankan saya membuat jualan selepas ia dikongsikan ibu kepada jiran terdekat.

"Jiran memuji roti berkenaan lembut dan sekaya yang saya buat sama rasanya seperti pernah dibuat ibu, kira-kira 26 tahun lalu," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Gemuroh, di sini.

Menurutnya, dia tidak menyangka menerima sambutan luar biasa sehingga memaksa dibantu suami, Mohd Fairus Ibrahim, 32, dan kakak, Norina, 35, serta ibu bagi menyiapkan tempahan.

Katanya, sehingga kini, setiap hari dia menerima tempahan antara 1,500 hingga 2,000 biji roti yang dijual pada harga RM5 untuk satu bekas mengandungi 10 biji roti.

"Saya bersyukur kerana menu tiga perasa iaitu sekaya, kacang dan kelapa yang diwarisi daripada ibu kini menjadi sumber rezeki keluarga," katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata, dia terharu dengan kejayaan anaknya mengusahakan perniagaan yang menjadi sumber pendapatan keluarga, sebelum ini.

"Dahulu saya membesarkan anak dengan hasil menjual roti sekaya ini dan sekarang tidak menyangka, ia kembali menjadi punca pendapatan keluarga selepas anak memulakan semula perniagaan yang sudah lama terhenti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 4:38 PM