GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan merekodkan 35 kes baharu positif Covid-19 hari ini, iaitu angka tertinggi setakat ini menjadikan kes aktif keseluruhan sebanyak 436 kes.

Semua jumlah kes baharu itu adalah kontak rapat Kluster Huma membabitkan remaja dan warga emas dari sebuah madrasah di Pasir Puteh.

Jumlah itu sekali gus menyaksikan kluster terbaharu iaitu Kluster Huma yang diumumkan semalam kini merekodkan 55 kes sehingga petang ini.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menerusi Facebook memaklumkan, sehingga kini seramai 127 kes positif dirawat di wad termasuk tujuh dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Tiada kes kematian baharu direkodkan menjadikan kumulatif kes kematian kekal empat kes.

"JKN Kelantan menasihati orang ramai supaya terus patuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, Kampung Dalam Huma, Pasir Puteh mulai 7 Disember sehingga 20 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 7:52 PM