Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) lebih awal dan berada di sana dalam tempoh agak lama sudah menjadi kebiasaan kepada penduduk di Kampung Padang Garam, Merchang di sini, setiap kali musim tengkujuh.

Jika penduduk sekitar hanya berada antara dua hingga tiga hari, lima keluarga di sini, terpaksa berkampung antara satu hingga dua minggu berikutan banjir termenung yang melanda kawasan kediaman mereka.

Penduduk itu sudah lali dan sentiasa berjaga-jaga kerana ada ketikanya perlu berpindah sekurang-kurangnya tiga kali ke PPS.

Penduduk, Nik Fauzi Alias Sa'a, 37, berkata, sudah menjadi kebiasaan dia dan isteri menjadi mangsa terawal dan terakhir berada di PPS setiap kali musim tengkujuh.

"Kami dibenarkan balik pada Rabu lalu tetapi petang itu hujan lebat menyebabkan kami terpaksa kembali ke PPS.

"Memang tak sempat pun mengemas dan ini yang kami lalui saban tahun kerana kedudukan rumah berhampiran sungai.

"Ia menyebabkan kawasan rumah dinaiki air dengan cepat sehingga pernah mencecah lebih dua meter dan kami boleh dikatakan antara penghuni tetap di PPS setiap kali musim tengkujuh.

"Sekarang ini, kami sentiasa berjaga-jaga kerana bimbang kawasan rumah dinaiki air lagi," katanya yang juga seorang petani.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Pasir Putih, Rosli Othman berkata, menjadi lumrah kawasan di Kampung Padang Garam dinaiki air apabila musim tengkujuh memandangkan kedudukan rumah berhampiran sungai.

"Banjir termenung menyebabkan penduduk berada lama di PPS dan kita ada bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) awal tahun ini untuk membersihkan dua tali air di sini.

"Bagaimanapun, ia masih tak menyelesaikan isu berkenaan dan berharap pihak kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini yang sudah membelenggu penduduk sejak 30 tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 4:07 PM