Foto hiasan
Foto hiasan
Norzamira Che Noh

Klang: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyerbu sebuah premis yang didapati menjalankan aktiviti mencuci tong terpakai secara haram di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata, aktiviti di premis berkenaan didapati menjadi punca kepada pembentukan buih berwarna putih dalam parit di sekitar kawasan perumahan Taman Ubudiah.

"Ketika serbuan yang dijalankan oleh pihak JAS Selangor dan MPK pada 10 pagi tadi, kawasan lantai dan longkang premis didapati masih basah walaupun premis tidak menjalankan sebarang operasi.

"Siasatan mendapati sebuah kawasan berbumbung dijadikan tempat mencuci tong terpakai yang mana air cucian termasuk sisa buangan terjadual dialirkan secara haram ke dalam parit yang terletak di belakang premis tanpa sebarang proses pengolahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati premis berkenaan memperolehi tong terpakai daripada kawasan industri di sekitar daerah ini.

Katanya, tong yang sudah bersih kemudiannya dijual semula kepada kilang seperti kilang pembuatan bahan kimia untuk tujuan isian semula (refill).

"Dua sampel sisa buangan terjadual yang terdapat dalam tong terpakai sudah diambil sebagai bahan bukti dan kawasan pencucian turut dikepung dengan pita amaran bagi mengelakkan pencerobohan bahan bukti di premis," katanya.

Nor Aziah berkata, empat kertas siasatan sudah dibuka ke atas pemilik premis berkenaan.

Katanya, pemilik premis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana gagal mengemukakan laporan kesan kepada alam sekeliling akibat aktiviti yang ditetapkan; Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menempatkan buangan berjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan; Seksyen 18(1) kerana menjalankan aktiviti di premis tanpa mendapat apa-apa lesen dan Seksyen 19(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis.

"Peralatan mencuci yang digunakan turut dirampas mengikut Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 39(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

"Orang ramai dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 11:06 PM