DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Berkuat kuasa esok, tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman.

"Semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.

"Kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan," menurutnya dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, beberapa negara sudah menyemak semula tempoh kuarantin wajib masing-masing.

"United Kingdom, Jerman dan Belgium menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari manakala Perancis pula mengambil tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari," katanya.

Pada 4 Disember lalu media melaporkan Kementerian Kesihatan sedang meneliti kemungkinan untuk memendekkan tempoh kuarantin warga asing yang memasuki negara ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, pihaknya perlu meneliti data berhubung perkara berkenaan dan melihat risikonya. Anggaran tempoh yang dicadangkan antara 12 hingga 10 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 8:22 PM