Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mengenai urusan memperbaiki pilihan raya di negara ini akan ditubuhkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"ERC menjalankan kajian lebih dua tahun dan selesai pada awal Ogos lalu.

"Perdana Menteri menerima laporan itu bagi pihak kerajaan pada 27 Ogos lalu dan laporan ini mengandungi sebanyak 49 syor penambahbaikan yang menyentuh perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pilihan raya.

"Kerajaan amat komited dalam memastikan pembangunan demokrasi adalah seiring dengan peredaran zaman dan keperluan rakyat di negara ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin mengetahui sama ada laporan ERC itu akan didedahkan kepada umum.

Takiyuddin berkata, sebaik saja kajian selesai, satu laporan berhubung dengan hasil dapatan kajian berserta syor penambahbaikan akan disediakan.

"Laporan yang dikemukakan ERC bukan saja aspek perubahan kepada proses pilihan raya, namun juga perubahan dalam pelbagai aspek pengurusan kerajaan yang turut membabitkan pelbagai kementerian dan agensi," katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan sedang meneliti satu persatu syor yang dikemukakan untuk membuat penilaian terhadap kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya.

"Memerlukan masa untuk membuat penelitian kerana perlu mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi khususnya badan berkepentingan utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Justeru, jelasnya ERC menyenaraikan pelan tindakan secara berfasa.

"Antaranya ialah mencadangkan agar diwujudkan sebuah badan penyelaras dan pemantauan tindakan untuk menyelaras dan memantau tindakan oleh pelbagai agensi kerajaan terhadap setiap syor yang dikemukakan," katanya.

Menurutnya, dalam hal itu, kerajaan amat berhati-hati dan bersikap realistik dalam melaksanakan perubahan dan penambahbaikan untuk kebaikan rakyat.

"Kerajaan perlu memastikan setiap perubahan yang dilaksanakan benar-benar dapat memberikan nilai tambah kepada kehidupan rakyat di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 1:39 PM