ANTARA pencarum yang hadir ke Pejabat KWSP. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ANTARA pencarum yang hadir ke Pejabat KWSP. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Orang ramai mula menyerbu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Terengganu bagi urusan mendaftar i-Akaun dan permohonan pengeluaran i-Sinar, hari ini.

Tinjauan NSTP mendapati pencarum mula berada di pejabat KWSP Terengganu seawal 7.15 pagi walaupun operasi hanya bermula jam 8.30 pagi.

Sehingga 1 tengah hari tadi, hampir 1,000 pencarum hadir dengan kebanyakannya untuk urusan i-Sinar.

Walaupun pendaftaran i-Sinar boleh dilakukan secara dalam talian namun pencarum hadir sendiri ke KWSP kerana beberapa masalah teknikal selain kekeliruan dengan proses pendaftaran.

Tinjauan juga mendapati urusan berkenaan dilakukan di kiosk yang disediakan selain turut membuka beberapa kaunter khas untuk tujuan berkenaan.

Bagi pencarum yang mempunyai urusan lain di KWSP, mereka perlu membuat temu janji secara dalam talian terlebih dahulu.

Semua pencarum yang datang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Pengusaha butik pengantin di Kuala Berang, Nur Ain Chi Hashim, 33, berkata, dia terpaksa mengeluarkan wang simpanannya di KWSP menerusi i-Sinar kerana pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Memang pendapatan terjejas hampir 80 peratus apabila banyak pakej perkahwinan dibatalkan atau ditukar kepada pakej yang lebih kecil.

"Apabila kerajaan membenarkan pengeluaran ini, saya memang bersyukur kerana ia boleh digunakan untuk perbelanjaan harian," katanya.

Bagi Yusri Mohd, 27, yang bekerja sebagai pembantu juru ukur, dia memohon i-Sinar kerana gajinya terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Gaji saya dipotong dan memang sangat terkesan kerana ada komitmen bulanan seperti rumah dan perbelanjaan harian.

"Saya tahu wang di dalam KWSP ini untuk simpanan masa depan tetapi saya sangat memerlukan duit ini untuk perbelanjaan harian," katanya yang berasal dari Marang.

Untuk rekod, semua pejabat KWSP di negeri ini beroperasi seperti biasa bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 4:27 PM