Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Kerajaan bersetuju untuk mempertimbangkan bagi mempercepatkan projek tebatan banjir fasa dua yang membabitkan kos RM1.5 bilion, untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pihaknya mengemukakan cadangan supaya projek berkenaan dipercepatkan.

"Projek tebatan banjir fasa satu iaitu dari Tumpat ke Rantau Panjang sudah berjalan, manakala fasa dua dari Rantau Panjang ke sempadan Jeli pula dijangka dilaksanakan 2023.

"Namun kita meminta projek berkenaan diawalkan memandangkan setiap tahun rakyat terpaksa berdepan masalah banjir berikutan tiada tebatan banjir.

"Jika projek tebatan banjir itu dilaksanakan, ia dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat sejak puluhan tahun lalu. Perdana Menteri meminta supaya kita pastikan projek berkenaan dikemukakan untuk RMK-12," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Perdana Menteri melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai lawatan Muhyiddin ke Kelantan, Ahmad berterima kasih kepda Perdana Menteri yang melakukan lawatan kerja dan melawat mangsa banjir di negeri itu.

"Lawatan itu sekali gus memberi semangat kepada petugas untuk terus bertugas demi rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 1:45 PM
Muhyiddin berbual dengan sebahagian petugas di Pusat Kesihatan Rantau Panjang ketika melawat mangsa banjir di PPS di SK Gual Tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhyiddin berbual dengan sebahagian petugas di Pusat Kesihatan Rantau Panjang ketika melawat mangsa banjir di PPS di SK Gual Tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar