PASANGAN yang ditangkap berkhalwat sempena operasi ambang tahun baru di sebuah apartmen. FOTO Mohd Khidir Zakaria
PASANGAN yang ditangkap berkhalwat sempena operasi ambang tahun baru di sebuah apartmen. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Enam pasangan dicekup kerana disyaki berkhalwat di apartmen masing-masing termasuk pasangan remaja dalam operasi sempena Tahun Baru di sebuah resort di Batu 6, di sini, awal pagi tadi.

Operasi polis bersama Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dilakukan hasil maklumat awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, operasi ambang tahun baru bermula jam 1 pagi dan berakhir tiga jam kemudian selepas memeriksa 31 unit apartmen di tiga blok bangunan resort berkenaan.

"Operasi turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik yang mana seramai enam pasangan ditahan kerana berkhalwat termasuk lima dipercayai terbabit dengan dadah jenis syabu dan ganja.

"Daripada 31 unit yang diperiksa itu, dua unit terpaksa dipecahkan kerana penghuni enggan membuka pintu.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai tiga paket dadah dipercayai syabu dan ganja yang disorok di dalam beg kecil di luar tingkap apartmen itu," katanya ketika ditemui selepas Ops Tahun Baru di sini, pagi tadi.

Katanya, dalam serbuan di tingkat 10, seorang lelaki berusia 19 tahun dikesan cuba bersembunyi di balkoni apartmen sebelah.

"Sebaik pintu dibuka remaja perempuan memberitahu tinggal seorang diri tetapi selepas didesak, dia mengaku bersama teman lelaki yang sudah menghilangkan diri dengan memanjat balkoni.

"Hampir setengah jam mencari, kelihatan lelaki itu menyorok di balkoni apartmen sebelah dengan membahayakan diri memanjat di tingkat 10 bagi menyelamatkan diri.

"Pasangan ini datang dari Dengkil, Selangor dan mengaku sudah dua tahun bercinta datang ke Port Dickson untuk meraikan tahun baru," katanya.

Muhamad Mustafah berkata, semua 12 orang yang ditangkap di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan lanjut dan kes tangkapan khalwat diserahkan kepada JHEAINS untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 12:21 PM