GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 6,557 orang membabitkan 1,694 keluarga di 60 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di tujuh daerah setakat jam 5 petang ini.

Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, orang ramai diminta terus berwaspada berikutan beberapa sungai utama merekodkan paras air melepasi tahap bahaya dan amaran termasuk di Kota Tinggi, Mersing dan Segamat.

Katanya, sebanyak 60 PPS beroperasi di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Kulai, Batu Pahat, Mersing dan Pontian.

"Johor Bahru kekal mencatatkan bilangan mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,452 mangsa daripada 593 keluarga yang dipindahkan ke 13 PPS.

"Kluang pula merekodkan 1,990 mangsa banjir daripada 582 keluarga manakala Kota Tinggi kekal dengan 1,223 mangsa daripada 278 keluarga.

"Begitu juga Kulai kekal dengan 581 mangsa daripada 156 keluarga di lima PPS.

"Batu Pahat pula mempunyai 36 mangsa banjir daripada 14 keluarga di dua PPS," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa banjir di Mersing juga meningkat kepada 257 orang daripada 70 keluarga di empat PPS.

"Mangsa banjir di Pontian meningkat kepada 18 mangsa daripada empat keluarga di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai," katanya.

Menurutnya, banjir yang masuk hari ketiga di negeri ini menyebabkan 10 laluan utama dinaiki air dengan tujuh daripadanya ditutup kepada semua jenis kenderaam berikutan paras air yang tinggi dan arus deras selain jambatan runtuh.

Antara laluan yang ditutup ialah Jalan Sungai Sayong, Kota Tinggi dan Jalan Haji Suhud, Taman Muhibbah, Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 7:02 PM