Syaherah Mustafa


Tanah Merah: "Alhamdulillah, selepas kisah hidup kami sekeluarga disiarkan akhbar, ramai datang menghulurkan bantuan termasuk memasang tenaga solar percuma di pondok usang ini," luah Siti Azlinda Rosli.

Pada 29 Disember lalu, akhbar melaporkan kisah kehidupan Siti Azlinda, 27, yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berusia empat sehingga lapan tahun, yang terpaksa hidup serba daif di dalam pondok usang tanpa bekalan elektrik sejak 11 tahun lalu.

Siti Azlinda meluahkan rasa syukur apabila menerima bantuan tenaga solar daripada syarikat SunCrox Solar kerana tidak lagi perlu bergelap atau ditemani cahaya lilin pada setiap malam.

"Sebaik diberitahu ada pihak mahu memberi bantuan tenaga solar secara percuma, kami sekeluarga sangat gembira dan bersyukur kerana ia adalah impian keluarga ini sejak sekian lama.

"Kami tidak mampu memasangnya sendiri kerana kosnya mencecah ribuan ringgit, namun siapa sangka 'kuasa' akhbar yang menceritakan kehidupan kami sekeluarga membolehkan pondok usang kami diterangi cahaya selepas ini.

"Kami menerima kunjungan banyak pihak melalui bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertanya khabar, tidak kurang menghulurkan sumbangan kewangan terutama untuk tiga anak saya," katanya ketika ditemui selepas pondoknya dikunjungi pihak syarikat SunCrox Solar, di Kampung Ayer Merbo, di sini, hari ini.

Siti Azlinda turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan orang ramai terhadap nasib keluarganya, selain mengharapkan semua pihak mendoakan mereka sekeluarga dapat membina kehidupan lebih baik selepas ini.

Sementara itu, Pengasas SunCrox Solar, Noor Shahiwan Ismail berkata, pihaknya memberi bantuan tenaga solar percuma sebagai salah satu projek sosial syarikatnya di samping membantu keluarga memerlukan terutama tiada bekalan elektrik.

Beliau berkata, ini sumbangan kedua di Kelantan yang menerima bantuan tenaga solar selepas ia turut dipasang secara percuma di sebuah masjid di Dabong, Gua Musang.

NOOR Shahiwan (kiri) bersama Dr Azizul Rahman (kanan) menyampaikan bantuan tenaga solar kepada Siti Azlinda dan Mustafa, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
NOOR Shahiwan (kiri) bersama Dr Azizul Rahman (kanan) menyampaikan bantuan tenaga solar kepada Siti Azlinda dan Mustafa, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Selain itu, pihak kami turut membantu ramai lagi keluarga dari seluruh negara selain di Indonesia dan Vietnam.

"Saya berharap bantuan ini dapat memberi sinar baharu buat mereka sekeluarga terutama buat anak masih kecil dan memerlukan cahaya lampu ketika belajar di waktu malam.

"Projek kali ini mendapat kerjasama daripada Aktivis Kemanusiaan, Dr Azizul Rahman Ahmad Yusuf, yang turut sama turun padang ke lokasi selain berpeluang membaiki pondok milik keluarga terbabit yang turut didiami bapa mentua Siti Azlinda iaitu Mustafa Mat Hasan, 60," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 5:00 PM