Suzalina Halid dan Latifah Arifin

Petaling Jaya: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengeluarkan kenyataan berhubung hasil mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang berakhir sebentar tadi.

Berita Harian melaporkan, Perdana Menteri berkata, barisan kepemimpinan Bersatu membincangkan pelbagai isu melalui mesyuarat berkenaan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenainya.

Sebaliknya beliau berkata, Hamzah akan bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan selepas ini.

"Setiausaha Agung akan mengeluarkan kenyataan rasmi... kita membincangkan banyak perkara," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya mesyuarat MPT Bersatu di ibu pejabat parti itu di Menara Yayasan Selangor, di sini.

Terdahulu, mesyuarat MPT Bersatu berlangsung lebih tiga jam bermula 8.45 malam dan berakhir sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata mesyuarat berjalan dalam suasana baik.

Beliau berkata, kenyataan rasmi mengenai hasil mesyuarat hanya akan dikeluarkan esok (hari ini).

"Alhamdulillah....mesyuarat berlangsung dalam keadaan 'good mood'," katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Bersatu di ibu pejabat Bersatu, Wisma Yayasan Selangor, Petaling Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri
Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Bersatu di ibu pejabat Bersatu, Wisma Yayasan Selangor, Petaling Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 12:30 AM