ABDUL Hadi. FOTO Bernama
ABDUL Hadi. FOTO Bernama
Baharom Bakar


Marang: PAS tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada masa terdekat berikutan peningkatan kes Covid-19 dan bencana banjir yang semakin buruk di beberapa negeri.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pelaksanaan pilihan raya ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan banjir hanya akan menambah bebanan rakyat.

"Jika nak sangat pilihan raya diadakan, biar selesai dulu masalah penularan Covid-19 dan banjir.

"Takkanlah ketika penularan Covid-19 tengah merebak, nak desak kerajaan bubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU diadakan," katanya pada sidang media selepas selesai menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika mengulas desakan Umno supaya PRU15 diadakan sebelum suku pertama tahun ini berakhir.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno menggesa agar PRU-15 diadakan bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat namun tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi tetap dengan pendirian iaitu PAS akan terus memperkukuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN) selain mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"Kita sudah bina PN dan usaha untuk memperkukuhkan gabungan itu akan terus dilakukan dan bukannya untuk merobohnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 3:33 PM