PEMERIKSAAN dan tinjauan giat dijalankan oleh 200 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor di seluruh Selangor. FOTO Ihsan KPDNHEP
PEMERIKSAAN dan tinjauan giat dijalankan oleh 200 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor di seluruh Selangor. FOTO Ihsan KPDNHEP
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik meskipun timbul pelbagai dakwaan kononnya kerajaan akan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) di enam negeri zon merah di media sosial.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya kini menjalankan pemeriksaan dan tinjauan yang dilakukan 200 penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga.

"Penguat kuasa meninjau sama ada berlakunya pembelian panik ekoran daripada situasi semasa serta bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah sentiasa mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, KPDNHEP Selangor mengambil maklum mengenai situasi pembelian panik yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

"Bagaimanapun kita dapati ianya adalah terkawal. Situasi panik ini mungkin menular dalam kalangan rakyat berikutan pengumuman khas yang akan dibuat oleh kerajaan mengenai tindakan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri-negeri tertentu.

"Situasi pembelian panik ini tidak sepatutnya berlaku kerana hasil pemantauan Pejabat KPDNHEP Selangor, kami dapati bekalan barangan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi," katanya.

Beliau berkata, semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa dan ini menyumbang kepada kestabilan serta keberadaan barangan keperluan di pasaran.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 5:39 PM