Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Bekas ketua penolong setiausaha kanan sebuah kementerian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah dalam pemberian tender pembekalan serta penghantaran baja bio, tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh Shahrulzaman Jaafar, 43, yang kini memegang jawatan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan wang berjumlah RM2 juta daripada Wan Nor Izham Wan Nashar.

Ia sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran kepada tiga syarikat, Endona Corporation Sdn Bhd, Qamari Consultancy Sdn Bhd dan Borneo Natura Sdn Bhd membabitkan jumlah keseluruhan RM118,165,171.65.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Berjasa di sini, pada Februari tahun lalu.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan daripada Wan Nor Izham berjumlah RM85,000 melalui sebuah akaun bank didaftarkan dengan nama SZA Niaga sebagai upah membantu mendapatkan tender kepada tiga syarikat sama di Maybank cawangan Taman Setiawangsa pada jam 10 pagi, 30 Julai tahun lalu.

SHAHRULZAMAN mengaku tidak bersalah terima rasuah. FOTO AIZUDDIN SAAD
SHAHRULZAMAN mengaku tidak bersalah terima rasuah. FOTO AIZUDDIN SAAD

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima suapan daripada Hazrul Hisyam Hassan berjumlah RM40,000 sebagai upah mendapatkan tender sama kepada syarikat KIIK Resources Sdn Bhd dengan nilai keseluruhan berjumlah RM37,478,572.55 di hadapan sebuah hotel di Jalan Klang Lama pada jam 12 tengah hari, 17 Ogos lalu.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin yang mengendalikan kes menawarkan ikat jamin RM100,000 selain syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu serta berkomunikasi dengan saksi.

Peguam Azizul Shariman yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin yang rendah kerana anak guamnya tidak akan melarikan diri disebabkan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah selain masih bekerja dan perlu melapor diri di pejabat setiap hari.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 beserta kesemua syarat tambahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 1:22 PM