AMIR Amirul dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Marang kerana mencuri dua utas gelang tangan emas bernilai RM40,000 dari sebuah kedai emas. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
AMIR Amirul dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Marang kerana mencuri dua utas gelang tangan emas bernilai RM40,000 dari sebuah kedai emas. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mencuri dua gelang tangan emas bernilai RM40,000 dari kedai emas tahun lalu.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda juga memerintahkan Amir Amirul Rashid Yunus, 32, dikenakan hukuman denda RM2,000 bagi kesalahan itu.

Jika gagal bayar, tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan.

Tertuduh mengaku salah atas dakwaan mencuri dua gelang tangan emas milik sebuah kedai emas di Bandar Marang, pada 4.45 petang, 24 Disember 2020.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan dua utas gelang tangan emas bernilai hampir RM40,000 di sebuah kedai emas di Bandar Marang.

Suspek berjaya ditahan polis di sebuah rumah di Paka, Dungun kira-kira jam 9.30 malam pada 30 Disember 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 2:31 PM