PENIAGA gerai menunggu pelanggan di gerainya susulan orang ramai tidak keluar bersiar-siar di Jalan TAR. FOTO Hairul Anuar Rahi
PENIAGA gerai menunggu pelanggan di gerainya susulan orang ramai tidak keluar bersiar-siar di Jalan TAR. FOTO Hairul Anuar Rahi
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: "Sebagai penjaja kecil, kami bersyukur diberi peluang berniaga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini, namun pelanggan yang ada tak ramai seperti biasa," kata peniaga makanan, Zairi Hasan, 47.

Zairi berkata, dia hanya mengikut arahan kerajaan dan cuba berniaga hari ini.

"Kalau PKP sebelum ini peniaga kecil tidak dibenarkan berniaga, tetapi ada bantuan moratorium jadi kita tak terlalu risau untuk membayar komitmen bulanan.

"PKP sekarang ini dibenarkan berniaga tetapi pelanggan kurang dan mahu tak mahu kami perlu terus membuka gerai sebab hutang kereta dan rumah perlu dijelaskan.

"Kami sangat berharap agar kerajaan memberi perhatian kepada golongan peniaga kecil ini dan memberi bantuan," katanya kepada Harian Metro.

Dia antara penjaja yang beroperasi di sekitar Jalan Tuanku Abdul dan Masjid Jamek selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula hari ini sehingga 26 Januari 2021.

Tinjauan Harian Metro di lokasi sekitar pusat ekonomi ibu kota itu hari ini mendapati hanya beberapa peniaga kecil yang berniaga seawal 7 pagi.

Walaupun sekitar kawasan terbabit lengang namun peniaga yang dibenarkan operasi terus membuka gerai perniagaan mereka seperti biasa.

Bagi peniaga air, Linda Abdul Rahman, 47, berkata untuk permulaan PKP ini dia mengurangkan kuantiti jualannya kerana khuatir sekiranya tiada pelanggan.

"Saya berniaga air di sini sejak 2008 dan saya akui apabila PKP dilaksanakan memang tiada orang awam keluar dan nasib baik ketika PKP Mac lalu, golongan penjaja ini menerima bantuan 'one-off' RM500 daripada pihak berkuasa tempatan (PBPT) serta geran khas.

"Bagaimanapun, untuk PKP kali ini, saya berharap kerajaan prihatin kepada peniaga kecil seperti kami dan menyediakan bantuan seadanya kerana golongan seperti kami kebanyakannya kekurangan modal pusingan," katanya.

Sementara itu, bagi penjual surat khabar, Tatcchna Barathy, 21 berkata dia akan terus membuka gerainya jika dibenarkan pihak berkuasa.

"Pelanggan memang tak ramai dan selalunya saya buka gerai jam 7 pagi dalam 8 pagi semua surat khabar habis dijual.

"Seperti hari ini, hanya tiga pelanggan saja yang datang membeli dan sekiranya PKP ini dilanjutkan, saya terpaksa kurangkan barang jualan sebab tahu memang pelanggan akan merosot sepanjang PKP ini," katanya yang membuka gerai bermula 7 pagi hingga 5 petang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:49 PM