Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh melihat keadaan rumah sewa Mohd Rizal Mohd Idrus yang musnah dalam kebakaran di Jalan Indah 4, Taman Sri Indah. FOTO IHSAN FB PARLIMEN SABAK BERNAM
Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh melihat keadaan rumah sewa Mohd Rizal Mohd Idrus yang musnah dalam kebakaran di Jalan Indah 4, Taman Sri Indah. FOTO IHSAN FB PARLIMEN SABAK BERNAM
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: "Sebaik (pintu) dibuka, saya hanya mampu beristighfar dan menggeletar melihat api yang sedang marak di bahagian dapur," ujar peniaga kedai makan, Mohd Rizal Mohd Idrus, 39, selepas rumah sewanya di Jalan Indah 4, Taman Sri Indah, di sini, musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian jam 8.30 malam tadi, dua lagi rumah bersebelahan turut terbakar.

Mohd Rizal, berkata, kejadian berlaku ketika dia baru tiba di rumah untuk menunaikan solat Isyak.

"Mulanya saya curiga melihat rumah dalam keadaan gelap. Sebaik sahaja membuka pintu hadapan, saya lihat api sudah marak di bahagian dapur.

"Tanpa berlengah saya bergegas memaklumkan isteri (Zubaidah Lahuri, 37) dan tiga anak yang berada di kedai makan milik kami yang terletak berhampiran," katanya..

Menurutnya, dia turut menghubungi pihak bomba untuk memaklumkan kebakaran itu.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur semua ahli keluarga selamat meskipun beberapa peralatan perniagaan dan barangan musnah dalam kebakaran.

"Dengan ihsan rakan, kami sekeluarga menetap sementara di sebuah inap desa di Taman Budiman," katanya yang menyewa di taman perumahan itu sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Muhammad Khuzaimey Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.47 malam.

"Sepasukan 24 anggota termasuk dari BBP Sabak Bernam dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta empat jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran dapat dikawal pada 9.31 malam dan operasi tamat pada 11.10 malam. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh turut hadir menyantuni mangsa yang terjejas.

Mohd Fasiah berkata, beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dan memberi bantuan kewangan kepada mangsa terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:04 PM