BANGUNAN Stadthuys yang berfungsi sebagai destinasi pelancongan popular di Bandar Hilir, Melaka  sepi berikutan pelaksanaan PKP. FOTO Hassan Omar
BANGUNAN Stadthuys yang berfungsi sebagai destinasi pelancongan popular di Bandar Hilir, Melaka sepi berikutan pelaksanaan PKP. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Ibarat dilanggar garuda apabila lokasi pelancongan popular di negeri ini lengang semalam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Industri pelancongan Melaka dijangka menerima kesan ketara selepas kebanyakan pusat tumpuan ramai ini menjadi sunyi tanpa pengunjung.

Tinjauan wartawan di beberapa lokasi pelancongan popular di Bandar Hilir, pantai peranginan Pantai Puteri, Tanjung Kling dan Pengkalan Balak di Masjid Tanah di sini, tadi, mendapati lokasi berkenaan lengang berbanding keadaan sebelum PKP dilaksanakan.

Ini menyebabkan peniaga di kawasan berkenaan terpaksa menghentikan operasi berikutan ketiadaan pengunjung.

Tinjauan di Jonker Walk dan beberapa jalan utama di Bandar Hilir yang sebelum ini dipenuhi pelancong, mendapati lokasi itu turut lengang dan sunyi berikutan ketiadaan pelancong.

Keadaan sama turut dilihat di Kampung Pengkalan Perigi, Pantai Jaring, Pantai Rombang dan Pantai Kundor di sini, yang selalunya dikunjungi orang ramai dan pelancong luar.

Di pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, keadaan sama turut berlaku.

Pengusaha bot pisang di pantai Padang Kemunting, Amri Zul, 30, berkata perniagaannya mencatatkan penurunan perolehan sejak PKP dilaksanakan pada tahun lalu dan ia berulang sekali lagi.

"Sebelum ini pelancong dari Kuala Lumpur, Johor, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan memenuhi Pantai Puteri ini tetapi sekarang mereka tidak ada lagi kerana larangan rentas negeri sudah dikuatkuasakan," katanya.

Susulan itu dia terpaksa menyimpan dua bot pisangnya sementara menunggu PKP dijangka berakhir pada 26 Januari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:20 PM