GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Kerajaan negeri membenarkan sambutan Thaipusam pada 28 Januari ini diadakan tanpa perarakan atau perhimpunan untuk perayaan itu.

Menteri Besar Perlis berkata, walaupun negeri itu diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ia tidak bermakna segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan boleh dipandang ringan.

"Buat masa ini, tiada SOP luar biasa yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada kita namun kita menyedari terdapat acara atau 'event' yang agak besar bakal berlangsung iaitu sambutan Thaipusam.

"Oleh hal demikian, mengambil kira risiko kemungkinan risiko yang bakal berlaku, kita menetapkan bahawa perayaan ini diteruskan namun tiada sebarang perarakan atau perhimpunan diadakan sepanjang sambutan berkenaan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MKN Peringkat Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, buat masa kini keadaan jangkitan pandemik Covid-19 masih terkawal dimana hanya satu kes direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Perlis adalah 67.

"Walaupun begitu, kita masih lagi mempunyai 153 saringan individu yang belum lagi dapat dipastikan keputusannya dan ada kemungkinan apabila keputusan individu ini diperolehi akan terdapat pertambahan dalam jumlah kes jangkitan ini.

"Namun ia bukan dalam jumlah yang besar berdasarkan 'trend' jangkitan yang berlaku di Perlis pada masa ini.

"Di Perlis ini, kita masih dibenarkan untuk mengadakan kenduri yang menjadi tumpuan orang ramai tetapi puncak musim kenduri di negeri ini sudah pun habis sekitar bulan Disember lalu.

"Kita masih menekankan supaya orang ramai mematuhi SOP sama ada terdapat perhimpunan atau tidak ketika majlis berkenaan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tiada keperluan kerajaan negeri untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar ke atas kawasan yang menjadi penyumbang kes terbanyak di negeri itu seperti Sanglang, Wang Bintong, Utan Aji dan Kurong Anai.

"Buat masa ini, tidak lagi dan kita akan kekalkan seperti biasa kerana apa yang kita amalkan sebelum kemasukan beramai-ramai rakyat dari luar Perlis berkesan sebenarnya.

Sehingga hari ini, Perlis sudah mencatatkan 67 kes jangkitan Covid-19 dan negeri itu serta Sarawak adalah dua negeri yang masih diletakkan di bawah PKPP berbanding negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:39 PM