ASISTEN Komisioner Razali Abu Samah melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan yang melalui SJR di Lebuhraya Bukit Jalil berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Kinrara 5, Serdang, hari ini.
ASISTEN Komisioner Razali Abu Samah melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan yang melalui SJR di Lebuhraya Bukit Jalil berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Kinrara 5, Serdang, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Mahu bertemu kawan dan makan di restoran kegemaran. Itu antara alasan diberikan oleh beberapa individu yang mengemukakan permohonan kebenaran rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, setakat ini, pihaknya menolak enam permohonan daripada penduduk di daerah ini kerana atas alasan berkenaan.

"Kami menerima 698 permohonan rentas negeri dan daripada jumlah itu, enam permohonan ditolak kerana alasan mahu berjumpa rakan serta makan di restoran kegemaran selain dokumen tidak lengkap.

"Bagi 692 lagi permohonan diluluskan adalah atas alasan munasabah termasuk hal kecemasan seperti kematian dan mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui di sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Bukit Jalil berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Kinrara 5, di sini, hari ini.

Razali berkata, selain lokasi itu, pihaknya turut mengadakan tiga SJR di daerah ini iaitu Jalan Puchong-Klang Lama hadapan Telekom Taman Tenaga; Jalan Putra Permai dan Jalan Utama Serdang Raya Seksyen 8 berdekatan Maybank.

"Seramai 267 dan 32 anggota masing-masing daripada polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam penugasan SJR di daerah ini.

"Dari jam 8 pagi hingga 4 petang tadi, sebanyak 6,497 individu dan 4,178 pelbagai kenderaan seperti kereta dan motosikal di empat SJR berkenaan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada sebarang kompaun dikeluarkan menerusi SJR terbabit kerana pihaknya mengambil pendekatan budi bicara pada peringkat awal.

"Kami mahu orang ramai benar-benar faham dahulu prosedur operasi standard (SOP) PKP. Justeru itu, ada yang kita minta patah balik dan mereka mengikut arahan diberikan," katanya.

Mengulas mengenai kewajaran SJR di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, Razali berkata, pihaknya masih meneliti perkara itu mengikut keperluan.

"Pucuk pimpinan polis masih berbincang keperluan SJR itu. Kami akan menentukan sama ada akan ada SJR di plaza tol itu atau sebaliknya nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:49 PM