KADI Daerah Kluang, Sabaruddin Isnin. FOTO Adnan Ibrahim
KADI Daerah Kluang, Sabaruddin Isnin. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Seramai 42 pasangan pengantin mengambil keputusan mengejut untuk memohon agar dapat dinikahkan semalam iaitu sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Johor, bermula hari ini.

Kadi Daerah Kluang, Sabaruddin Isnin berkata, semua pasangan berkenaan sudah membuat permohonan bernikah di Pejabat Agama Daerah Kluang pada 16 hingga 26 Januari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya terpaksa menggunakan khidmat lapan orang jurunikah secara bergilir-gilir menikahkan semua pasangan bermula 8 pagi semalam hingga 11.30 malam tadi.

"Antara alasan mereka mengambil keputusan mengejut untuk bernikah semalam adalah tidak mahu perancangan mendirikan rumah tangga tertangguh kerana PKP.

"Semua pasangan membuat permohonan itu sebaik pengumuman pelaksanaan PKP oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu," katanya.

Sabaruddin berkata, untuk sepanjang tempoh PKP ini, hanya pasangan sudah mendapat kebenaran bernikah di dalam daerah Kluang sahaja dibenarkan bernikah di Pejabat Agama Daerah.

Beliau berkata, permohonan baharu untuk bernikah sepanjang PKP tidak dibenarkan.

Menurutnya, hanya tiga orang sahaja iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali dibenarkan hadir dalam satu majlis pernikahan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:53 PM