Idris Ibrahim (kiri) menerima sumbangan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disampaikan oleh Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Linau di Simpang Renggam. FOTO ADNAN IBRAHIM
Idris Ibrahim (kiri) menerima sumbangan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disampaikan oleh Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Linau di Simpang Renggam. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


Simpang Renggam: Penduduk di Kampung Ithnin Maarof dan Sungai Linau, dekat sini bimbang berikutan keadaan air semakin tinggi di kawasan penempatan mereka, berbanding semalam.

Penduduk Kampung Sungai Linau, Idris Ibrahim, 61, berkata, ketika mula dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, semalam air yang memasuki rumahnya hanya sekitar 0.3 meter sahaja.

Katanya, air didapati semakin tinggi sejak awal pagi hari ini hingga petang apabila parasnya meningkat hingga 0.7 meter dan hampir sama dengan ketinggian air ketika banjir pada 2 hingga 4 Januari lalu.

"Melihat keadaan itu, semua barang sudah diletakkan di tempat tinggi dinaikkan ke atas siling rumah bagi mengelakkan ia terendam air sekiranya ketinggian air terus meningkat.

"Apa yang paling dibimbangi sekiranya keadaan ini bertahan terlalu lama kerana boleh menyebabkan lantai rumah dipenuhi lumpur tebal," katanya.

Idris berkata demikian selepas menerima bantuan bantal dan barang keperluan dapur daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disampaikan oleh Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah di PPS SK Sungai Linau, hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Ithnin Maarof, Azlina Samat, 37, berkata, keadaan di kampungnya turut menunjukkan kenaikkan paras air daripada hanya 0.15 meter semalam kepada 0.9 meter pada hari ini.

Katanya, penduduk di kampung itu menjangkakan air mungkin lambat surut berbanding banjir pada 2 Januari lalu berikutan keadaan air agak tinggi serta mengalir perlahan.

PPS SK Sungai Linau kini menempatkan 121 mangsa daripada 27 keluarga manakala PPS di Dewan Kampung Ithnin Maarof turut meningkat daripada empat keluarga dengan 18 penduduk kepada lima keluarga dengan 25 mangsa.

PPS Kampung Paya Palembang kekal dengan lapan keluarga membabitkan 29 mangsa berikutan keadaan air masih bertahan seperti semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 8:11 PM