PKRC di MAEPS (gambar fail). FOTO Ihsan KKM
PKRC di MAEPS (gambar fail). FOTO Ihsan KKM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti tiga langkah bagi memastikan pesakit kategori satu dan dua Covid-19 dapat ditempatkan serta dikuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain mengekalkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), tiga langkah lain ialah kaedah isolasi di rumah, menempatkan individu yang dijangkiti di asrama dan langkah ketiga menempatkan mereka di hotel.

Mengenai kaedah isolasi di rumah, beliau berkata, ia sudah dipraktikkan di negara lain, tetapi pihaknya perlu mengenal pasti kesesuaian rumah itu untuk tujuan kuarantin pesakit Covid-19.

"Jika ruang atau keluasan rumah membenarkan, maka kita benarkan kuarantin di rumah, (namun) kita juga melihat risiko mengikut kumpulan umur, jika berisiko tinggi kita tidak galakkan mereka duduk kuarantin di rumah.

"Tetapi majoriti yang bukan kumpulan berisiko tinggi boleh duduk di rumah dan pastikan mereka menggunakan aplikasi MySejahtera serta terus berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah," katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, langkah lain yang boleh diambil adalah menempatkan individu yang dijangkiti wabak itu di asrama seperti yang dilakukan dalam Kluster Teratai.

"(Dalam menangani) Kluster Teratai dulu, kita gunakan hostel (asrama) lelaki dan wanita untuk menampung pesakit kes positif (Covid-19) yang mana kita lakukannya dengan berkesan.

"Langkah ketiga yang diteliti adalah melihat hotel untuk menempatkan pesakit positif kategori satu dan dua, kita pernah melakukannya di Negeri Sembilan yang mana dua hotel dikenal pasti dan menempatkan kes positif di hotel yang ditanggung majikan.

"Saya rasa, ini tiga opsyen yang kami akan teliti untuk melaksanakannya," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, 10 hingga 15 peratus dari individu yang dijangkiti dari kategori tiga, empat dan lima dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 9:34 PM